SIAPA sangka kita akan bertemu jodoh dengan seseorang yang sebelum ini tidak pernah dikenali.
Malah, dalam sekelip mata si dia sudah menjadi isteri kita.
Itulah  dinamakan jodoh yang Allah s.w.t kurniakan kepada seseorang. Zaman  datuk nenek moyang kita, kebanyakan menyerahkan kepada ibu bapa untuk  memilih jodoh, tiada istilah bercinta atau mengurat.
Berbeza  kini, zaman siber memberi pilihan kepada anak-anak memilih pasangan  sendiri. Pasti setiap pasangan ada cerita menarik detik awal perkenalan  sehingga diijab kabulkan.
Jika menuntut di menara gading, pastinya banyak kenangan manis bagi pasangan bertemu jodoh.
Ada yang bermula dengan meminjam nota pelajaran sehingga menerbitkan perasaan yang sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata.
Ada  sebahagian yang 'kuat' jodohnya sejak zaman persekolahan, walaupun  banyak pilihan di kampus, si dia tetap menjadi pasangan ke jenjang  pelamin.
Begitulah hebat tarikan kasih sayang antara  lelaki dan wanita. Setiap pertemuan itu pastinya dari 'mukadimah' cinta  iaitu mengurat.
Tetapi, apakah Islam membenarkan umatnya melakukan perbuatan mengurat?
Cinta itu sebagai permulaan (mukadimah) kepada perkahwinan. Tidak menjadi kesalahan mengurat jika ia membawa kepada kebaikan.
Contohnya,  seorang lelaki mahu menyampaikan hasrat hatinya terhadap wanita yang  dirasakan layak menjadi teman hidupnya, seni mengurat perlu ada.
Tetapi,  dari sudut berbeza, mengurat mungkin membawa keburukan jika berlaku  perkara yang bertentangan dengan agama iaitu perzinaan.
Akibat  berzina amat buruk kerana melanggar hukum Allah. Allah berfirman yang  bermaksud: "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu  sangat keji dan jalan yang amat jahat". (Surah al-Israak ayat 32)
Justeru,  apabila keluar dari rumah, agama menyuruh kita menutup aurat selain  memelihara diri daripada keghairahan seks yang boleh membawa kepada  zina.
Islam tidak menyekat fitrah manusia untuk sayang  menyayangi, cuma kita dilarang jika bibit-bibit kasih sayang itu membawa  kepada kemaksiatan.
Islam tidak pernah menghalang memikat  atau mengurat, tetapi perlu ada seninya dan tidak melanggar batas  kesusilaan antara lelaki dan wanita.
Jika seorang lelaki  itu berminat terhadap seorang wanita dan mahu menjadikan teman hidup,  mereka perlu berjumpa dengan wali untuk meminang.
Menjadi satu kesilapan jika terus bertemu wanita pilihannya tanpa bertemu ibu bapanya.
Kita  dianjurkan mendirikan solat istikharah untuk meminta Allah perteguhkan  keputusan yang ada atau petunjuk membuat keputusan yang belum ada.
Mereka  yang bersolat istikharah tidak akan kecewa kerana solatnya bukan saja  mencari petunjuk Allah dalam membuat keputusan yang belum pasti, tetapi  meminta diperteguhkan hati melaksanakan keputusan yang pasti.
Selepas  keputusan dibuat, teguhkan azam dan terus bertawakal sebelum  menguruskan lamaran dengan memilih wakil yang baik untuk meminang.
Jika  bersedia, bawalah keluarga berjumpa dengan wali perempuan untuk  mengenali calon menantu serta menyatakan hasrat dengan lebih jelas.
Selepas  kedua-duanya bersetuju, barulah dijalankan upacara peminangan. Selepas  bertunang, haram bagi seorang wanita itu dipinang lelaki lain.
Sepanjang  masa pertunangan, mereka boleh mengenali di antara satu sama lain.  Ketika itu barulah dapat dirasakan keserasian sebelum majlis  perkahwinan.
Sentiasa beringat bahawa bertunang bukan 'lesen' melakukan perbuatan maksiat kerana mereka belum sah sebagai suami isteri.
Ini bagi memelihara zuriat yang bakal lahir nanti. Inilah indahnya Islam mengaturkan perjalanan hidup umatnya.
Percintaan  dalam Islam ialah hubungan cinta yang disuburkan selepas perkahwinan  sehingga ke akhirnya. Tanda sebuah perkahwinan itu dizahirkan melalui  hubungan suami isteri diisi penuh tanggungjawab dan kasih sayang,  membentuk anak yang soleh dan solehah serta taat kepada perintah Allah.
Jadi berdoalah untuk mendapatkan keredaan Allah semata-mata dan tidak sesekali berdasar godaan nafsu dan keduniaan.
Jika masih 'berat' bertemu jodoh, jangan bersangka buruk kepada Allah. Ini pastinya satu ujian yang mengandungi 1001 hikmah.
Barangkali  Allah mahu selamatkan mereka daripada mendapat pasangan tidak sesuai.  Tetapi, usaha perlu dipertingkatkan agar Allah permudahkan urusan kita.
Jangan membuat keputusan tidak berkahwin selama-lamanya kerana ia bertentangan dengan fitrah dan syariat agama.
Nabi Muhammad s.a.w memberi panduan melamar seorang wanita adalah dengan melihat calon mengikut aturan yang ditetapkan syarak.
Dari  Anas bin Malik, beliau berkata, Mughirah bin Syu'bah berkeinginan untuk  menikahi seorang perempuan. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: "Pergilah  untuk melihat perempuan itu kerana dengan melihat itu akan memberikan  jalan untuk dapat lebih membina kerukunan antara kamu berdua".
Lalu  dia melihatnya, kemudian menikahi perempuan itu dan dia menceritakan  kerukunannya dengan perempuan itu. (Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Sebelum  berkahwin pasangan diharuskan melihat dan berkenalan. Menurut riwayat  Muslim dari Abu Hurairah bahawa Nabi pernah bertanya kepada seseorang  yang akan menikahi seorang wanita: "Apakah engkau telah melihatnya?" Ia  menjawab: "Belum:. Baginda bersabda: "Pergi dan lihatlah dia".
Meskipun sudah berkenalan, seseorang itu dilarang berpacaran berdasarkan ayat Quran yang menegah daripada berlakunya perzinaan.
Berpacaran  bukanlah perkara yang tepat bagi mengenal pasangan. Mereka boleh  mendapat maklumat daripada orang hampir dengannya seperti sahabat  baiknya.
Minta penilaian daripada orang tua dan keluarga  sebab mereka yang 'jatuh cinta' tidak melihat kekurangan pasangannya,  bau busuk pun dikatakan wangi.
Jangan sesekali mengambil kesempatan terhadap pasangan  walaupun mereka memberi isyarat berminat kepada kita.
Berikan  pujian dengan ikhlas dan jujur terhadap sikap serta personaliti mereka.  Jadikan mereka mempercayai kepada keikhlasan kita supaya mereka dapat  berkongsi suka duka atau luahan emosi.
Janganlah bersikap  keterlaluan sehingga menimbulkan pergaduhan atau rasa tidak senang  kepada pasangan. Berusahalah untuk mencuci hati daripada perasaan  negatif.
Untuk menjadikan semua orang di sekeliling kita  berasa senang dan sayang kepada kita, bersihkan hati dengan menjaga  ibadah seperti solat, membaca al-Quran, memaafkan orang lain, meminta  maaf jika melakukan kesalahan, banyakkan bersedekah dan sentiasa  memikirkan hal yang positif.
Dilahirkan sebagai lelaki,  kita perlu banyak belajar mengenal kerenah wanita terutama menjaga  perasaan, kehendak, pemikiran dan kesukaan mereka.
Cuba  elakkan mencari kelemahan dan kesilapan kecil yang ada pada bakal  pasangan. Apatah lagi bertindak mengutuk atau memalukan bakal mereka.
Pasangan pastinya akan tertarik kepada jika kita mengasihinya bukan kerana harta, wajah atau keturunannya.
Cari ruang untuk sentiasa mewujudkan suasana yang gembira yang dalamnya ada terselit kisah lucu.
Apa  yang paling penting, carilah bakal bakal pasangan yang sekufu, setara  dan sepadan dengan kita. Kehidupan yang lalui adalah 'medan' untuk terus  memperbaiki diri dan belajar sesuatu perkara yang baru.
Kerana keikhlasan cinta, kasih dan sayang...
aku ingin melamarmu... adakah kau sudi...

 
No comments:
Post a Comment