Friday, November 22, 2013

Wahai Wanita... Lelaki Merayu...



Dalam kehidupan, salah mempersalahkan itu ada… tapi, kalau terus saling mempersalah bila akhirnya… ilham kali ini bukan untuk mempersalahkan sesiapa… tetapi biar kita lihat kesalahan yang ada pada diri kita… iya… aku lelaki… aku akui ada kesalahan aku… iya… aku lelaki… aku juga mempersalahkan wanita… iya… aku lelaki… aku juga punya ego… apa kesalahan aku? Apa yang aku persalahkan wanita? Apa yang aku egokan?

Tidak menarik rasanya untuk aku terus dengan ego aku… permulaannya… wahai wanita, aku akui aku bukan lelaki baik… aku akui aku mungkin hina… aku akui tidak selayaknya untuk aku membimbing kamu menjadi wanita solehah sedangkan aku bukan lelaki yang soleh… aku akui aku juga banyak dosa… dosa pada hati, dosa pada akal, dosa pada mata… tetapi wanita, aku merayu…

TUTUP AURATMU… TUTUP BENTUK TUBUHMU… TUTUP LENGANMU… TUTUP BENTUK KAKIMU…

Wanita… kamu boleh mempersalahkan lelaki kerana tidak mengawal pandangannya… tetapi wanita, aku merayu… tolonglah aku, tutup elok semuanya… cukuplah aku telah berdosa melihat setiap bentuk tubuhmu… jangan biarkan aku yang hina ini bertambah-tambah hina… mata ini perlu melihat ke hadapan bukan terus tunduk melihat batu-batu dan tanah… bukan harus perlu memaling ke kanan kemudian ke kiri kemudian ke atas kemudian ke bawah kerana perlu mengelak pandangan dosa dihadapan mata…

Benar aku bersalah kerana tidak mengawal pandangan aku… benar, aku juga mempersalahkan kamu kerana kamu tidak menutup elok auratmu… mempersalahkan memang tidak akan ada akhirnya… aku berdosa… kamu juga berdosa… adilkan…? Tetapi adakah dosa yang hendak kita bawa di akhirat nanti…? Adakah seronok kita menari-nari kepanasan… terlalak terlolong berkaraoke meraung kesakitan… wanita… kasihani diri kamu… kasihani lelaki di sekitar kamu…

Bila bicara tentang adil…

Wahai lelaki… jaga pandangan kamu. Pelihara, tapis minda x-ray kamu…
Wahai wanita… jaga aurat kamu. Pelihara, tutup elok bentuk tubuh kamu…

Kita masih boleh bersama-sama membantu… kita masih boleh bersama-sama mengelak dosa… kita masih boleh bersama-sama menuju ke syurgaNya… adil rasanya kalau kita saling mengakui kesalahan masing-masing… kita saling menegur dan bersama-sama memperbaiki diri…

Sahabat… jangan ada yang berkecil hati dengan Notes Ilham Minda kali ini… maaf, aku hanya manusia biasa… tidak layak untuk menulis Ilham ini sedangkan diri masih perlu diperbaiki… maaf…

MAAF PENUTUP BICARA…


Thursday, August 8, 2013

Biar Hati Berbicara



Aina menikmati minuman, menyirup air oren di dalam plastik, Elly hanya melihat dan memandang Aina di hadapannya dan kemudian mengalih pandangan ke arah lain sebelah kirinya. Shah yang berada di sebelah kanan Elly bersuara “Aina sikit minuman kau tu…” Aina lantas memberi air minumanya kepada Shah. Elly memandang plastik minuman di beri ke arah Shah,  “kalau kamu tahu, aku hanya akan minta berkongsi minuman dengan kau bila kau adalah isteri aku sahaja” bisik hati Elly yang menyimpan perasaan terhadap Aina.

Setelah Shah menerima plastik minuman daripada Aina, Shah memberikan plastik minuman itu kepada Elly untuk dipegang, dan dia menggerak-gerakan jarinya dipermukaan plastik minuman, Aina memerhatikan perbuatan Shah dan tersenyum. Shah menulis perkataan ‘anyone?’ di plastik minuman yang penuh dengan bintik-bintik air dek kerana proses kondensasi di persekitaran plastik minuman yang sejuk berais. Elly memahami maksud Shah iaitu Shah bermaksud ingin bertanya kepada Aina kalau dia sudah mempunyai seseorang. Elly memberi plastik yang bertulis ‘anyone?’ kepada Aina sambil tersenyum kerana dia tahu Aina akan bersama dengan seseorang yang akan menyayanginya iaitu sahabatnya Shah dan Aina menyambut palstik minuman itu dengan senyuman.

“teet.. teet..” “teet... teet...” telefon bimbit Shah berbunyi menanda ada mesej yang masuk. Shah memandang screen telefon bimbitnya dan terpapar “massage from Aina”, Shah membaca masej dan tersenyum tanda gembira dan bahagia. Elly tahu masej itu daripada Aina kerana dia perasan Aina sedang menaip sesuatu ditelefon bimbitnya sebelum telefon bimbit Shah berbunyi. Setelah melihat reaksi Shah yang tersenyum, Elly meminta diri “eh, aku pergi ambil angin kat luar eh, taklah ganggu korang berdua hehe...” Elly memandang Shah dengan senyuman gembira kemudian mengalih pandangan ke arah Aina juga dengan tersenyum tetapi hanya Allah sahaja yang tahu bertapa hatinya terasa sedih. Untuk mengelakan Aina perasan dia sedang bersedih, Elly segera mengalih pandangannya setelah melihat Aina dan berlalu ke luar.

Di luar, Elly merenung ke langit yang gelap dihiasi dengan kerlipan bintang dan nampak cantik bila sebentuk bulan sabit turut menghiasi kegelapan malam. Hatinya terasa tenang selepas peristiwa yang membuatkan hatinya berasa sedih sebentar tadi. Kemudian dia tersenyum gembira apabila teringat wajah senyuman Shah yang mendapat masej dari Aina, pada fikirannya Aina telah membalas cinta Shah ekoran senyuman gembira Aina semasa melihat tindakan Shah menulis perkataan ‘anyone?’ yang dikiranya tindakkan romantik Shah untuk memikat hati Aina. Melihat kegembiraan Aina, lantas Elly berdoa kepada pencipta alam yang indah “ya tuhan ku, mudah-mudahan Aina akan bahagia dengan insan pilihannya, berikanlah kegembiraan dan kebahagian kepada insan yang paling aku sayang, yang paling aku cintai iaitu Aina”.

Setelah Elly berada di luar, tinggal Shah dengan Aina berdua.  Shah sudah mengalih tempat duduknya yang sebentar tadi di sebelah Elly kini dia duduk di sebelah Aina dan bertanya “kenapa kau taip ‘AKU DAH ADA SESEORANG, DIA KAT SEBELAH KAU DAN DI HADAPAN AKU... TAPI, PLEASE JANGAN BAGI TAHU DIA.’ kau tak nampak Elly tersenyum gembira je tadi. Mesti dia ingat kau suka aku.” Aina menjawab “iye aku tahu dia gembira, tetapi semasa dia pandang aku, hati aku dapat rasakan yang dia sedih walaupun dia tersenyum kepada aku tadi” Aina menyambung lagi, “aku rasa lebih baik dia tidak perlu tahu aku sayang dia, kerana dengan cara ini aku dapat menjaga cinta aku, takut kalau kami saling mencintai, kami mabuk dalam cinta dan hanyut. Dalam cinta biarlah hati kami sahaja yang berbicara.”

Shah terkesima dengan kata-kata Aina, kemudian dia bertanya, “mana mungkin boleh bicara cinta dalam hati, dalam percintaan kita perlu tahu kepada siapa kita cintai dan perlu saling mencintai, kalau hati sahaja yang berbicara mana mungkin kita tahu dicintai? Dan bagaimana nak tahu saling mencintai” Aina membalas, “cinta itu hadir dalam perasaan, dan perasaan itu ada kalanya perlu dijaga kerana ia boleh menghanyutkan, boleh melalaikan jika tidak diperlihara.” Aina menghilangkan perkataan ‘anyone?’ di plastik minumannya dangan mengelap menggunakan tangannya dan kemudia menyambung, “Aku tahu Elly sayangkan aku. Aku tahu dia gembira, dia gembira sebab dia tahu aku akan disayangi oleh kau sepenuh hati kau. Lagipun kau kan memang sahabat dia yang paling baik, sebab tu dia gembira bila tahu kau akan bersama aku. Aku juga dapat rasakan kesedihan di dalam hatinya, tapi aku percaya Elly seorang yang sangat penyabar, kerana itu aku menyayangi dia. Dia tidak akan tunjuk rasa sedihnya kepada orang lain sebab itu kau nampak dia gembira tetapi tidak nampak dia bersedih.”

Di luar, lama Elly merenung langit sambil tidak henti-henti mendoakan untuk aina. Bagi Elly kebahagiaan Aina turut akan memberikan kebahagiaan kepadanya walaupun pada permulaannya pasti akan menghadirkan rasa kesedihan yang teramat sedih. Berdoa kepada penciptanya itulah cara dia menjaga rasa sayang dan cintanya agar Aina kekal bahagia dan gembira. Tanpa disedari, Shah telah memerhatikan dari tadi dan Shah mula meyapa, “hai Elly lama kau tengok langit...?”. “haha... langit ni nampak cantik malam ni. Tengoklah cantikan bulan dan bintang...?” Elly yang agak terkejut membalas teguran Shah. “hai... aku tengok biasa je... hehe... kau mengalamunkah?” “haha... nak mengalamun apanya... eh, awal keluar? Mana aina? takkan dah puas dating?.” Elly menjawab selepas Shah mengagaknya mengalamun lantas menukar topik bicara. Shah membalas “amboi, tanya Aina pulak, kau suka dia ea Elly?” “haish, takkanlah aku nak suka awek sahabat baik aku... Aina memang sesuai dengan kau.” Elly membalas kata-kata shah dengan senyuman dia merasakan Shah lebih layak untuk Aina berbanding dia. “haha... kalau kau suka Aina, luahkanlah kepada dia Elly, kalau tidak kau terlepas” “haha... kau ni Shah... kalau aku suka dia pun belum tentu dia suka aku... hehe... lagipun kau kan ada... kau boleh bahagiakan Aina... aku yakin kepada kau Shah.” “siapa-siapa pun boleh bahagiakan Aina Elly... lagipun Aina dah ada seseorang.” Jawab Shah sambil memegang pesanan Aina. Jawapan Shah agak mengejutkan Elly, lantas terbisik di dalam hati Elly “siapalah yang kamu suka Aina...?”namun Elly tetap menyembunyikan rasanya dan membalas kata-kata Shah, “siapa pun yang Aina suka mesti orang yang di suka itu akan membahagiakan dia... kau kecewakah Shah.?” Elly cuba menduga sahabatnya itu. “tidak, aku tak kecewa, seperti yang kau kata, Aina akan bahagia dengan orang yang dia suka.” Jawab Shah.

Jawapan Shah yang tidak kecewa melegakan Elly, kerana dia takut kalau-kalau sahabatnya itu mabuk dalam cinta sehingga akan memudaratkan dirinya. Sebagai memberi semangat kepada dirinya dan sahabatnya, Elly berkata, “Shah, aku tahu kau sangat sayangkan dan cintakan Aina, selalu sahaja kau cerita fasal Aina kepada aku dan kau selalu kata kau ingin bahagiakan Aina, sebab tu aku gembira bila menyangka Aina benar-benar sudi menerima kau... Shah, perasaan cinta itu memang indah, kadangkala kita juga boleh sakit dengan perasaan itu... syukurlah kau tidak terlalu kecewa dan dapat menerima segala-galanya... sebagai tanda kau sayang dan cinta kepada Aina selalulah kau mendoakan Aina... mudah-mudahan Aina gembira, bahagia dengan orang yang menjadi pilihannya. Lagipun ada kalanya perasaan cinta ini perlu disimpan dahulu, sampai masanya berikan perasaan itu kepada orang yang benar-benar sah untuk kita iaitu isteri kita. Biar sahaja hati kita berbicara tentang cinta. Bila hati sahaja yang berbicara kita dapat menjaga diri kita dan juga diri orang yang kita cinta daripada terjebak dalam maksiat dek kerana cinta kepada yang belum halal. Insya’Allah cinta yang hanya berbicara dalam hati akan subur dengan sendiri mengikut cara yang diredhai ILAHI. Bicara cinta dalam hati boleh mengelakkan kita daripada hanyut dek perasaan cinta yang tidak dijaga dan tidak diperlihara.” Shah agak terkejut dengan kata-kata Elly yang mempunyai maksud yang sama seperti kata-kata Aina. Dalam hati Shah berdoa agar Elly dan Aina dapat disatukan dengan cara yang paling diredhai Allah. “itu nasihat untuk aku atau untuk kau Elly... hehe...” seloroh Shah kepada Elly. “haha, kau ni Shah tak habis-habis... kalau ye pun aku suka kat Aina, biarlah cinta kami hanya bicara dalam hati... hehehe...” seloroh Elly untuk menyembunyikan perasaan sedih setelah mengetahui Aina suka kepada seseorang yang dia tidak tahu siapa hanya berharap orang yang aina suka itu akan bahagiakan Aina. “iyelah Elly, biar hati berbicara... hehe... dah jomlah, kesian Aina duduk seorang kat sana tu” kata Shah sambil menunjuk ke arah Aina. Aina tersenyum dari sudut yang jauh itu. Elly dan Shah kembali kepada Aina. Sampai berhampiran dengan Aina, Elly memandang tepat ke arah Aina dengan senyuman dan mendoakan Aina di dalam hati “semoga kau bertemu dengan seseorang yang akan menbahagiakan kau Aina. Ya allah, mudah-mudahan orang yang Aina sayang akan membahagiakannya.” Aina membalas senyuman Elly dan berdoa di dalam hatinya, “mungkinkah Elly yang akan membahagiakan aku, ya Allah perliharalah rasa cinta aku kepada Elly agar aku akan mencintainya dengan cara yang Engkau redhai.”



Elyas : Hehe... sekian saja kisah ‘Biar Hati Berbicara’ tak tau ending kisah Elly dengan Aina sampai ke akad nikah atau tidak... kepada siapa yang nak jadi novelis upgrade lah cerita nie hehe... ilham aku hanya sampai setakat tu aje... cz aku bukan novelis cuma menulis time ilham datang je... then tak selalu plak ilham datang huhu... sape nak tambah, nak buat ending cerita nie buat lah... hehe...

Sunday, June 30, 2013

Tidak Menang Piala, Tapi Menang Jiwa


Perlawanan bola sepak sering kita tunggu terutama apabila perlawan itu untuk merebut sebuah piala. Dalam kita melihat perlawanan bola sepak, kita juga sedang berhadapan dengan perlawanan emosi di dalam diri kita sendiri. Bagaimana kita mengawal emosi ketika perlawanan berlangsung, hanya pemikiran positif atau negatif yang akan menentukan pengawalan emosi.

Dalam padang perlawanan, pemain berusaha bermain dengan baik berlawan sebaik boleh menentang pasukan pihak lawan. Di luar padang perlawanan, kita berlawan dengan musuh tersembunyi yang sentiasa menghasut, tersilap langkah kita terhambur kutukan, kejian, kata-kata yang menyakitkan terutama apabila kalah. Pasukan sokongan sudah kalah, jiwa pendirian juga kalah.

Biar satu kekalahan, jangan dua kekalahan. Biarpun pasukan gagal merebut piala, jangan gagal mengawal iman di dada. Memang adat perlawanan, ada yang menang pasti ada yang kalah. Tetapi biarlah yang kalah itu syaitan yang menghasut jiwa, kita yang menang mengawal emosi jiwa.

Di dalam padang, pemain berusaha menguasai perlawanan gunakan segala kekuatan fizikal dan minda. Di luar padang, penyokong berusaha dengan ikhtiar jiwa menyokong dan berdoa. Berdoa… iya, berdoa… itulah yang sepatut kita lakukan daripada menghambur kutukan. Ada kekuatan disebalik doa. Ada kejayaan disebalik doa. Ada keistimewaan disebalik doa.

Istimewanya doa, ketundukan hamba yang kudus. Berkat doa hamba yang mengharap, mana tahu aura kemenangan meresap, permainan semakin bertambah mantap, pasukan menang seperti yang diharap. Sungguhpun jika doa tidak diperkenankan, bukan bermakna Dia tidak menghiraukan, tetapi ada pahala doa akan diberikan, berkat dari kesabaran dan pengharapan hamba kepada Yang Menentukan. Piala memang tidak mungkin tetapi pahala itu mungkin kita dapat, mana yang hebat…?

Kita semua tahu mana yang hebat… smile…(^_^)

Friday, May 31, 2013

Di Hadapan Keindahan Ciptaan


Di tengah bandar aku bersandar,
Di hadapan aku hamparan lautan,
Di belakang aku jalanan kenderaan...
Kesibukan jalan tidak kuhiraukan,
Ketenangan lautan aku dambakan...

Ya Tuhan,
Aku berada di tengah keadaan,
Memandang keindahan daripada menoleh kesibukan...

Ya tuhan pencipta alam.
Aku bersyukur dilahirkan Islam.
Aku bertasbih di dalam diam.
Aku sujud siang dan malam.

Di hadapan keindahan ciptaanMu Tuhan,
Aku memuji kebesaranMu ya Tuhan...
Tetapkan aku dalam iman
Dalam mencari keredhaan...

Di hadapan keindahan ciptaanMu Tuhan,
Aku memuji kebesaranMu ya Tuhan...
SUNGGUH. tiada tuhan yang lebih berkuasa melainkanMu ya ALLAH.

Monday, May 20, 2013

Hidup Tanpa Wanita


Jangankan lelaki biasa, Nabi pun terasa sunyi tanpa wanita . Tanpa mereka, hati, fikiran dan perasaan lelaki akan resah. Masih mencari walaupun sudah ada segala-galanya. Apa lagi yang tidak ada di syurga, namum Nabi Adam a.s tetap rindukan Siti Hawa.

Kepada wanitalah lelaki memanggil ibu, isteri atau puteri. Dijadikan mereka dari tulang rusuk yang bengkok untuk diluruskan oleh lelaki, tetapi kalau lelaki sendiri yang tak lurus, tak mungkin mampu nak meluruskan mereka. Tak lojik kayu yang bengkok menghasilkan bayang-bayang yang lurus.

Luruskanlah wanita dengan cara yang ditunjuk Allah, kerana mereka dicipta sebegitu rupa oleh pencipta.
Didiklah mereka dengan panduan dariNya. Didiklah mereka dengan kasih sayang.
JANGAN CUBA JINAKKAN MEREKA DENGAN HARTA, NANTI MEREKA SEMAKIN LIAR.
JANGAN HIBURKAN MEREKA DENGAN KECANTIKAN, NANTI MEREKA SEMAKIN MENDERITA.

Yang sementara itu tidak akan menyelesaikan masalah.
Kenalkan mereka kepada Allah, zat yang kekal, disitulah caranya mendidik.
AKAL SETIPIS RAMBUTNYA , TEBALKAN DENGAN ILMU.
HATI SEPARUH KACA , KUATKAN DENGAN IMAN.
PERASAAN SELEMBUT SUTERA , HIASILAH DENGAN AKHLAK.

Suburkanlah kasih kerana dari situlah nanti mereka akan nampak nilaian dan keadilan Tuhan.  Akan terhibur dan bahagialah hati mereka, walaupun tidak jadi ratu cantik dunia, presiden ataupun perdana menteri negara atau women gladiator. Bisikkan ke telinga mereka bahawa kelembutan bukan suatu kelemahan. Itu bukan diskriminasi Tuhan. Sebaliknya disitulah kasih sayang Tuhan, kerana rahim wanita yang lembut itulah yang Mengandungkan lelaki-lelaki waja : negarawan, karyawan , jutawan dan " wan-wan" lain. Tidak akan lahir superman tanpa superwoman.

Wanita yang lupa hakikat kejadiannya, pasti tidak terhibur dan tidak menghiburkan.  Tanpa ilmu, iman dan akhlak, mereka bukan sahaja tidak boleh diluruskan bahkan mereka pula membengkokkan. LEBIH RAMAI LELAKI YANG DIROSAKKAN OLEH PEREMPUAN DARIPADA PEREMPUAN YANG DIROSAKKAN OLEH LELAKI. SELEMBUT-LEMBUT PEREMPUAN PUN BOLEH MENUNDUKKAN SEKUAT-KUAT LELAKI. Itulah akibatnya apabila wanita tidak kenal tuhan. Mereka tidak akan kenal diri mereka sendiri, apalagi mengenal lelaki. Kini bukan saja ramai boss telah kehilangan secretary, bahkan anak pun akan kehilangan ibu, suami kehilangan isteri dan bapa akan kehilangan puteri.

Bila wanita derhaka dunia akan huru-hara.  Bila tulang rusuk patah, rosaklah jantung, hati dan limpa.  Para lelaki pula jangan hanya mengharap ketaatan tetapi binalah kepimpinan.

Pastikan sebelum memimpin wanita menuju Allah, PIMPINLAH DIRI SENDIRI DAHULU KEPADANYA.  Jinakkan diri dengan Allah , nescaya akan jinaklah segala-galanya dibawah pimpinan kita.

JANGAN MENGHARAP ISTERI SEPERTI SITI FATIMAH,
KALAU PERIBADI BELUM LAGI SEPERTI SAYIDINA ALI.

Sunday, February 3, 2013

Kebesaran Al-Quran


Dr. Bucaille menjadi serba salah dan bingung apabila diberitahu bahawa al-Quran yang diyakini dan dipercayai oleh umat Islam telahpun meriwayatkan kisah tenggelamnya Firaun dan kemudian mayatnya diselamatkan.

Beliau semakin tertanya-tanya, bagaimana perkara seperti itu dapat diterima oleh akal kerana mumia itu baru sahaja ditemui sekitar tahun 1898. Sedangkan al-Quran telah ada di tangan umat Islam sejak ribuan tahun sebelumnya. Sambil mata tidak lepas memandang mumia Firauan yang terbujur di hadapannya, Dr. Bucaille terus tertanya-tanya bagaimana al-Quran dapat membicarakan kisah Firaun yang jasadnya diselamatkan dari hancur sejak ribuan tahun lalu. “Apakah masuk akal di hadapanku ini adalah Firaun yang cuba menangkap Musa (Nabi)? Apakah masuk akal Muhammad (Nabi) mengetahui hal sejarah ini? Pada hal kejadian Musa dikejar Firaun telah berlaku sebelum al-Quran diturunkan,” bicara hatinya sendirian.

Lalu beliau mendapatkan kitab Injil yang di dalamnya hanya membicarakan Firaun yang tenggelam di tengah laut saat mengejar Nabi Musa tetapi tidak diceritakan mengenai mayat Firaun. Sementara dalam Kitab Perjanjian Lama (Injil Lama) pula yang diceritakan dalam kitab itu hanyalah: “Air (laut) pun kembali seperti sebuah lautan yang berombak dan beralun, menenggelamkan kereta-kereta (chariot) kuda, pasukan berkuda dan seluruh bala tentera Firaun tanpa ada seorang pun yang berjaya menyelamatkan diri. Tetapi anak-anak Israel dapat menyelamatkan diri atas daratan kering di tengah-tengah laut itu”. (Exodus 14:28 dan Psalm 136:15) Dr. Bucaille sangat terkejut kerana tidak ada disebut langsung mengenai apa yang terjadi seterusnya kepada mayat Firaun selepas tenggelam itu. Ini menjadikan beliau semakin kebingungan.

Apabila mumia dikembalikan semula ke Mesir, Dr. Bucaille terus mendapatkan kepastian mengenai mumia itu. Lalu beliau memutuskan untuk bertemu dengan para ilmuwan Islam mengenai sejarah Nabi Musa, kekejaman Firaun sehinggalah Bani Israel meninggalkan Mesir dan dikejar Firaun dengan seluruh bala tentera di belakang mereka. Maka salah seorang mereka terus bangun dan membaca ayat al-Quran berhubung sejarah tersebut untuk Dr. Bucaille mendengarkannya sendiri:

“Maka pada hari ini Kami selamatkan badan kamu supaya kamu dapat menjadi pelajaran bagi orang-orang yang datang sesudah kamu dan sesungguhnya kebanyakan manusia lengah dari tanda-tanda kekuasaan Kami.”
(Yunus: 92)

Apabila mendengar ayat ini, hati Dr. Bucaille benar-benar tersentuh. Beliau akhirnya mengakui kebenaran ayat itu kerana ia dapat diterima akal dan memberikan satu inspirasi serta dorongan kepada sains untuk maju meneroka lebih jauh lagi.

Lalu dengan hati yang begitu bergetaran dalam menahan sebak dan keharuan, beliau pun bangun dan dengan suara yang lantang berkata: “Sesungguhnya aku masuk Islam dan beriman dengan al-Quran ini.” Tidak sekadar beliau mengakui kebenaran dan memeluk Islam tetapi beliau kemudiannya pulang ke Perancis dengan menggali seluruh isi al-Quran. Akhirnya beliau berjaya menerbitkan buku yang sangat mengejutkan seluruh dunia dan sehingga kini telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa pada tahun 1976, iaitu The Bible, the Qur’an, and Science : The Holy Scriptures Examined in the Light of Modern Knowledge.

Melalui buku ini, Dr. Bucaille yang kemudiannya dikenali sebagai Dr. Yahya Maurice Bucaille berjaya membuktikan bahawa al-Quran adalah selari dengan fakta-fakta sains sementara kitab Injil adalah sebaliknya. “Sains dan Islam umpama saudara kembar yang tidak boleh berpisah. Ini kerana dalam Injil terdapat pelbagai kesilapan dari aspek saintifik tetapi tiada sedikitpun kesilapan seperti itu ada dalam al-Quran. “Al-Quran yang di dalamnya diceritakan segala penjelasan mengenai fenomena alam semula jadi yang sangat bertepatan dengan sains moden,” katanya. Beliau memberikan kesimpulan bahawa tidak syak lagi al-Quran benar-benar kalam Allah.



Notes… Ilham Minda mengambil kisah nie kerana benar2 tertarik dengan kisah ‘Jasad Firaun’ nie dan ingin berkongsi dengan pembaca dengan tajuk ‘Kebesaran Al-Quran’. Tidak dinafikan Al-Quran adalah kitab yang mempunyai banyak keistimewaan dan sangat rugilah kita kalau kita yang islam sendiri tidak memahami ayat2 dalam Al-Quran. Mungkin juga elok jika Notes… Ilham Minda berkongsi sepotong lagi ayat Al-Quran iaitu ayat 30 dalam Surah Al-Fussilat yg penulis rasakan ayat ini sangat indah untuk memotivasikan diri kita untuk mengharung segala ujian hidup di dunia.

“sesungguhnya orang-orang yang mengatakan, “Tuhan kami adalah Allah” kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat akan turun kepada mereka dengan mengatakan, “janganlah kamu merasa takut dan janganlah kamu bersedih hati; dan bergembiralah kamu dengan (memperoleh) syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.”
(Al-Fussilat : 30)