Saturday, October 25, 2014

Tingginya Martabat Orang Bersabar



Bersyukurlah kerana diberikan ujian, kerana ujian itu adalah cara Allah meninggikan martabat hambaNya. Banyak antara dari kita di luar sana melalui pelbagai ujian sehingga membawa dia di tahap kejayaan.

Benar kata orang, yang sabar dengan ujian selalu berjaya, yang tidak bersabar telah gagal dalam ujian.

Apabila dikatakan "gagal" adakah itu bermakna harus berputus asa? Tidak, sama sekali tidak.

Apabila kita gagal, dan kita belajar daripada kegagalan itu, mengapa kita harus kata kita telah gagal? sedangkan ada pelajaran baru daripada kegagalan itu.

Berbalik pada tujuan Allah memberikan ujian iaitu Allah ingin meninggikan martabat hambaNya. Apabila kita gagal dan belajar daripada kegagalan itu, kemudian kita perbaiki, bukankah kita telah meninggikan martabat kita? Bukankah ini selari dengan tujuan asal ujian Allah? iaitu Allah ingin meningkatkan martabat hambaNya.

Bagaimana pula bila kita gagal dan gagal dan gagal lagi kemudian gagal dan gagal lagi? Bersabar... itulah yang perlu kita lakukan. Sampai bila? Wallahu'alam... Sungguhnya perancangan Allah itu tidak akan kita ketahui sehingga kita melaluinya...

Hanya perlu tetapkan dalam hati, Allah bersama dengan orang-orang yang sabar. Dan perlu kita selalu ingati, ketinggian martabat seseorang itu adalah pada kesabarannya. Dan selalu berpesan dalam hati, setiap kesabaran pasti ada kejayaan, jika tiada kejayaan di dunia, pasti ada kejayaan di akhirat iaitu berjaya ke syurgaNya.

Pada era ketika ini, banyak yang bersabar dikata daif, dikata ketinggalan, dikata tetap berada pada kedudukan lama. Benar... Itu yang akan dikata orang. Mereka melihat keadaan kita pada ketika ini, mereka tidak lihat kita pada masa akan datang, pada pandangan mereka kita akan tetap sama pada masa akan datang. Itu hanyalah pada pandangan manusia, pada pandangan Allah? pada perancangan Allah? siapa tahu? silap-silap yang dipandang rendah hari ini, lebih tinggi martabatnya pada masa akan datang. 

Ingat... ingat selalu... jangan mencerca mereka yang rendah taraf, jangan menghina mereka. Jangan nanti dia gembira bahagia di syurga, kita pula derita sengsara di neraka. Allah Maha Adil... ingat tu...

Jika difikirkan dengan situasi semasa, tidak dinafikan kita akan terlihat pada kedudukan sama, sepanjang kita bersabar kita memang akan berada pada kedudukan yang sama. Bagaimana hendak mengubahnya? Adakah perlu dengan berhenti bersabar? Tidak... Bukan begitu caranya.

Kamu yakin Allah bersama kamu ketika kamu bersabar bukan? Benar... Memang benar... Sepanjang kamu bersabar, Allah sentiasa bersama kamu, tidak sekali Dia mengabaikan kamu.

Dalam kamu bersabar dengan ujian yang Allah berikan kepada kamu, tidak terpikirkah oleh kamu untuk menghadapi ujian itu dengan lebih baik? Tidak terpikirkah untuk mengubah dengan lebih baik? Tidak terpikirkah idea-idea untuk memperbaiki diri? Kamu terfikir bukan...?

Itu adalah pemikiran yang Allah hadirkan dalam akal fikiran kamu... Lain orang, lain cara berfikirnya, tetapi ia tetap datang daripada Allah. Apabila kamu terfikir sesuatu, bukankah itu bermaksud pertolongan Allah dalam bentuk ilham?

Terbukti, Allah bersama kamu bukan? Allah memberi ilham kepada kamu bukan? Melalui 'terfikir' itu lah Allah menolong kamu. Jelas Allah bersama kamu. Maka memang benar Allah bersama dengan orang-orang yang sabar. PertolonganNya tidak pernah kita duga.

Berbalik kepada kita, selepas Allah memberi ilham 'terfikir', setelah bersabar dan kita terfikir cara untuk menghadapi ujian atau memperbaiki diri. Apakah tindakan kita? Mengikut atau mengabai? Itulah penentuannya sama ada kamu masih berada pada kedudukan lama atau mengubah kepada kedudukan baru.

Ingin sangat berpesan dan mengingatkan, dalam kamu merancang menghadapi ujian dan melakukan pembaikan, perhatikan bagaimana kamu lakukan... Adakah dengan cara yang Allah redha? atau dengan cara yang salah? Sesungguhnya iblis tidak akan berhenti menghasut dan menipu daya. Berhati-hati dalam membuat keputusan, jangan berhenti memohon petunjuk Allah.

Semoga kita semua sentiasa dalam perliharaan Allah, dalam perlindungan Allah, dalam rahmat Allah. Semoga kita sentiasa diredhai Allah, sentiasa diberkati Allah pada hari ini dan pada setiap masa di masa-masa akan datang. Semoga Allah sentiasa bersama kalian, semoga di dalam hati kalian sentiasa ada Allah.

01 MUHARRAM 1436h